Saturday, June 29, 2013

Galakkan Anak Menjadi Usahawan Sejak Dari Kecil


Teks : Zaila Mohamad
Imej : Google

Assalamualaikum,

Teringat kenangan di zaman saya kecil dahulu, ayahanda saya seorang petani manakala bonda pula surirumah sepenuh masa. Masa itu, ayahanda menanam ibu kayu dan bonda mengusahakan kerepek ubi kayu dari ubi tersebut. Caranya, ubi kayu dibuang kulitnya dan diparut sampai halus. Kemudian bonda akan menggaul hasil parutan dengan garam dan mereka memulakan proses meletakkan ubi kayu tersebut di atas tudung periuk dan kemudian dijemur di bawah matahari. Apabila kering, ayahanda akan mengambil setiap kepingan ubi kayu tersebut dan mengguntingnya agar berbentuk empat segi sama. Bonda kemudian akan menggorengkan kerepek ubi kayu ini dan selepas masak, digaul pula ke dalam sambal atau air gula. Kemudian mereka akan mengisikan kerepek ini ke dalam plastik dan menutupnya dengan menggunakan api lilin sahaja.

Betapa tekunnya ayahanda dan bonda saya pada masa itu. Kerepek-kerepek tersebut bonda akan bawa sebagai jualan di kantin sekolah saya. Begitulah rutin harian ayahanda dan bonda di kampung jika tidak menanam tembakau. Saat itu, saya masih mentah dan tidak tahu apa itu erti sebenar kesusahan demi mencari sumber pendapatan yang halal. Iya, darah usahawan sudah mengalir dalam diri ini tetapi pada masa itu saya hanya tahu untuk belajar bersungguh-sungguh dan melanjutkan pelajaran di Universiti untuk mencapai impian menjadi seorang yang berjaya.

Kini, setelah hampir setahun berhenti kerja dan hampir 5 tahun berniaga di dalam talian, saya cuba untuk terapkan semangat usahawan ke dalam diri anak-anak saya. Bermula minggu lepas, saya ada projek menjual kerepek di sekolah dan tempat kerja adik ipar dan kawan-kawan saya. Anak-anak cukup teruja bila melihat suami membelikan saya alat perkakasan untuk membungkus kerepek. Saya mulakan dengan membungkus semula kerepek ubi kepada peket-peket kecil seberat 100gm setiap satu dan dijual pada harga RM2 sebungkus. Anak-anak saya terutamanya yang sulung dan yang kedua akan membantu dengan menghulurkan plastik dan menolong untuk menekan mesin penutup plastik.

Alangkah mudahnya zaman sekarang, tidak perlu bersusah-susah membuat sendiri kerepek yang ada. Apa yang penting tahu di mana sumber untuk kita mendapatkan bekalan yang sudah siap. Peralatan juga sudah serba canggih di mana ada penimbang kecil dan penutup elektrik yang amat-amat mudah untuk digunakan. Malah, anak-anak saya cukup rajin membantu menekan penutup plastik tersebut. Apabila sudah siap membungkus, saya akan memberikan hadiah kepada mereka seperti membuatkan mereka minuman kegemaran atau menggoreng nugget kepada mereka. Saya sering mengingatkan kepada mereka bahawa ini salah satu cara untuk kita dapatkan duit lebih. Dalam bergurau saya katakan bahawa kalau nak suruh papa beli kereta baru. kenalah rajin cari duit. Alhamdulillah kata-kata tersebut terkesan di dalam hati anak-anak apabila mereka sering membicarakan tentang kereta baru dan duit simpanan:)

Begitu juga buat kalian di luar sana, anak-anak kecil begitu mudah menyerap apa yang berlaku di sekitar mereka. Setiap kali kita melakukan sesuatu, jangan lupa untuk libatkan mereka bersama. Sambil bekerja, berceritalah dengan mereka apa tujuan kita melakukan perkara tersebut. Insya Allah sampai menginjak dewasa mereka akan ingat saat-saat ini. Dulu semasa saya kecil, ayahanda dan bonda jarang melibatkan saya dan adik kerana mereka tidak mahu kami turut sama bekerja seperti mereka. Mereka hanya berharapkan kami dapat belajar tinggi supaya dapat bekerja di dalam bidang pilihan masing-masing. Alhamdulillah, berkat keringat ayahanda dan bonda, kami 5 orang adik beradik semua dapat masuk Universiti dan masing-masing telah pun bekerja (kecuali saya yang mengambil keputusan untuk berhenti dan bekerja dari rumah). Adik saya pula masih dalam pengajian kedoktoran di Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian. Terima kasih tak terhingga buat ayahanda dan bonda berdua.

Sekarang ini saya libatkan anak-anak saya yang masih kecil supaya mereka dapat mengenal nilai sebuah duit supaya mereka tahu dan menghargai duit yang ada. Saya juga tidak akan menghalang mereka sekiranya apabila besar nanti mereka akan mengikut langkah generasi kami dengan berniaga. Sekurang-kurangnya dari sekarang lagi mereka sudah nampak apa itu berniaga, macamana cara berniaga dan kepuasan dalam berniaga. Saya juga sering membawa mereka ke tempat-tempat saya memborong barang jualan dan juga apabila bertemu pelanggan. Pernah sekali kami ke rumah abang ipar saya dan saya membawakan keropok segera sebagai buah tangan. Semasa anak buah kamis edang menikmati keropok tersebut, anak sulung saya memberitahu yang keropok ini adalah keropok yang dijual oleh mamanya:) Bangganya saya apabila anak sulung sudah tahu mempromosikan barang jualan saya.

Buat peniaga kecil-kecilan mahupun usahawan besar di luar sana, jangan lupa untuk melibatkan anak-anak dalam aktiviti harian kita. Semoga mereka beroleh manfaat dari apa yang kita ajarkan.

Salam kasih sayang!

Buat mereka yang ingin mendapatkan pakej WAHM, SOHO harga masih lagi RM100 sehingga hujung bulan ini. BAyar RM125 untuk mendapatkan sebuah buku percuma iaitu buku Jana RM Dari Rumah hasil tulisan pn Masayu Ahmad. Pada yang berminat untuk memasuki kelas asas blog dan fanpage untuk tujuan perniagaan atau penulisan, boleh masuk mana-mana kelas saya yang saya anjurkan 100% secara dalam talian. Nak tahu macamana? Boleh hubungi saya

Email : zailamohamad@yahoo.com
Sms / whats app : 012-3228651

No comments:

Post a Comment