Tuesday, July 2, 2013

Tips Suri Hebat : Bagaimana Menguruskan Masa Ketika Bekerja Dari Rumah



Teks : Zaila Mohamad
Imej : Google

Assalamualaikum,

Ramai yang bertanyakan kepada saya macamana saya menguruskan rumah dengan keadaan di mana saya mempunyai 4 orang anak-anak kecil tetapi masih boleh berniaga lagi. Macamana saya menguruskan anak-anak seorang diri di saat suami keluar bekerja di luar rumah sedangkan saya tidak mempunyai pembantu rumah. Mungkin agaknya saya ini mempunyai tangan seperti seekor sotong yang boleh melakukan banyak perkara dalam satu masa tetapi hakikatnya ianya bukanlah semudah yang dibayangkan. Tetapi dengan pengurusan masa yang betul, insya Allah semuanya akan menjadi senang.

Jadual tugasan seorang surirumah tidak sama jika dibandingkan dengan seorang surirumah yang lain. Sekadar berkongsi pengalaman saya yang sedang membesarkan empat orang anak yang berusia dari lima bulan sehingga tujuh tahun. Dua daripadanya sudah bersekolah manakala dua lagi berada di rumah sepenuhnya bersama saya. Setiap anak mempunyai perangai dan karenah yang berbeza-beza yang kadang-kadang boleh menggugat kesabaran saya juga.

Berikut beberapa tips yang saya buat untuk memudahkan kerja-kerja saya di rumah :

1) Gunakan waktu awal pagi dengan sebaiknya

Anak sulung dan anak kedua saya ke sekolah dengan menaiki van. Selepas sahaja menghantar mereka di hadapan rumah, saya akan naik ke atas menemani anak ketiga dan bongsu yang sedang nyenyak tidur lagi. Saya gunakan masa yang ada untuk melihat email, mengemaskini blog atau membuat promosi produk yang saya jual. Semua perkara tersebut saya lakukan melalui telefon ataupun melalui komputer riba yang sememangnya saya tempatkan di dalam bilik tidur saya.

2) Susun jadual mengikut waktu tidur anak

Anak bongsu masih kecil dan sentiasa tidur. Selepas bangun, diberikan susu dan dimandikan, si kecil akan terlena di dalam bilik. Masa ini saya akan pastikan anak ketiga tidak akan mengganggu adiknya dengan cara mengajak anak ketiga melakukan aktiviti yang saya buat bersamanya. Contohnya, sekiranya saya sedang memasak, saya akan ajak anak ketiga bermain di dapur atau pastikan dia ada di hadapan saya supaya adiknya dapat tidur lena di dalam bilik. Sesekali saya akan jenguk si kecil bagi memastikan keselamatannya.

3) Biasakan diri membuat pelbagai tugas dalam satu masa

Oleh kerana keadaan semasa anak tidur adalah begitu berharga, saya kena biasakan diri melakukan banyak tugas dalam satu masa. Contohnya seperti sambil memasak, saya akan membasuh pakaian atau menyidai pakaian. Ataupun mandi dan dalam pada masa yang sama membersihkan tandas. Begitulah rutin harian seorang surirumah yang tidak mempunyai pembantu rumah. Sambil-sambil menonton television, tangan laju aje melipat kain yang menggunung bagaikan sang Everest!

4) Bina SOHO mesra kanak-kanak

Buat masa sekarang bilik SOHO saya adalah bilik tidur utama memandangkan kebanyakan masa saya dihabiskan di dalam bilik. Anak-anak juga banyak menghabiskan masa di sini kerana saya sediakan satu ruang di mana terdapatnya buku-buku bacaan dan mainan mereka. Selain itu, saya juga menghabiskan masa melipat kain dan menggosok baju kerja suami dan baju sekolah anak-anak di sini. Sambil melakukan kerja sambil bekerja di dalam talian juga.

5) Cari masa sendiri

Kadang-kadang setelah seharian penat melakukan kerja dan melayan karenah anak-anak, saya akan mencari masa untuk diri-sendiri melakukan sesuatu yang menenangkan jiwa seperti mengadu kepada Sang Pencipta atau membaca kisah-kisah yang boleh memberikan inspirasi kepada saya. Saya akui, sejak meninggalkan alam kerjaya, hidup saya lebih fokus dan tenang dalam melakukan sesuatu perkara. Lebih banyak perkara yang dahulunya hanya ada di dalam otak dapat direalisasikan sekarang ini.

6) Minta bantuan oang lain

Sesekali walau sehebat mana saya rasa dalam menangani situasi di rumah, adakalanya saya tewas juga. Biasalah kaum perempuan yang kadang-kadang didatangi hormon setiap bulan. Masa ini tahap kesabaran kadang-kadang terjejas juga. Oleh itu jangan tambahkan tekanan kepada diri dengan meminta bantuan dari orang lain seperti dari suami mahupun teman-teman. Sekiranya saya tidak sempat untuk menyediakan makan malam, suami kadang-kadang berbesar hati membelikan makanan siap dari kedai untuk kami anak beranak makan pada malam tersebut. Pernah sekali suami ke luar negara atas urusan kerja dan bekalan susu anak ketiga habis, syukur alhamdulillah kerana saya sentiasa dikelilingi oleh insan penyayang yang sudi membelikan susu di kedai dan menghantarnya terus ke rumah.

Itu sahaja perkongsian dari saya buat masa ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

Buat mereka yang ingin belajar asas blog dan fanpage bolehlah hubungi saya melalui

email : zailamohamad@yahoo.com
sms/whats app : 012-3228651
facebook/Zaila Mohamad

Insya Allah saya akan bimbing anda untuk memulakan langkah pertama sebagai seorang blogger mahupun peniaga talian. Langkah demi langkah akan diajar sehingga berjaya membina sebuah blog yang berpengaruh dan boleh berjual-beli. Nota e-book juga akan diberikan secara percuma. Daftar sekarang untuk kelas Julai.

No comments:

Post a Comment