Wednesday, November 20, 2013

Beza Suri Dahulu Dan Suri Zaman Sekarang


Teks : Zaila Mohamad
Image : Google

Assalamualaikum,

Apabila berbicara tentang surirumah, sudah pasti apa yang tergambar di kotak fikiran kita adalah seorang wanita yang sedang memegang batang mop dan kepenatan kerana anak-anak sedang berlari membuat sepah sana-sini. Iya, itulah situasi yang hampir setiap hari sinonim dengan seorang wanita yang bergelar surirumah.

Tetapi tahukah anda, suri zaman sekarang sangat berbeza dari suri dahulu. Apakah yang membezakannya?

Surirumah zaman dahulu

- Semua kerja rumah dilakukan sendiri tanpa bantuan alatan elektronik mahupun bantuan suami. Suami selalunya keluar dari pagi mencari rezeki dan isteri ditugaskan menjaga rumah dan anak-anak. Sekiranya anak-anak sudah besar, isteri pula akan keluar membantu suami bekerja seperti menanam sayuran, menjual di pasar malam dan sebagainya.

- Kebanyakan surirumah adalah golongan bukan berpendidikan tinggi. Mereka selalunya berkahwin awal dan tidak sempat melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

- Tidak mempunyai kenderaan dan hanya mengharapkan suami jika mahu ke mana-mana. Tapi bagi yang sedikit berani, basikal dan motosikal merupakan pengangkutan utama untuk menghantar dan mengambil anak-anak ke sekolah. Jika tidak, berjalan kaki atau menaiki pengangkutan awam seperti teksi dan bas untuk ke tempat yang agak jauh dari rumah.

- Menjaga anak-anak sepenuh masa dan tidak berani melakukan kerja sambilan kerana bimbang tidak dapat menumpukan sepenuh masa kepada anak-anak.

- Tidak mempunyai ramai kenalan kerana hanya berada di dalam rumah sahaja. Jika ada pun hanya jiran-jiran sebelah rumah dan juga ibu bapa yang tinggal berdekatan dengan rumah. Pendek kata, skill sosial adalah rendah dan sukar untuk berhubung dengan orang yang tidak dikenali.

Contoh terdekat surirumah dahulu adalah ibu saya. Seorang wanita yang cekal membesarkan anak-anak dan tidak pernah mendapat pendidikan yang formal kerana berkahwin di usia yang muda. Mempunyai 5 orang anak yang dibesarkan sendiri dan mencari duit lebih dengan menanam sayur-sayuran dan sekarang masih lagi cekal berniaga.

Surirumah Zaman Sekarang

- Kebanyakan kerja rumah mendapat bantuan daripada mesin elektrik yang canggih seperti mesin basuh automatik, penyedut hampagas, periuk elektrik dan bermacam lagi. Masa untuk penyediaan makanan juga adalah cepat. Jadi surirumah dapat menyiapkam sesuatu tugasan tanpa perlu untuk menyiapkan satu-satu tugasan. Sebagai contoh, sambil membasuh pakaian surirumah boleh mamasak nasi dan menyediakan lauk.

- Kebanyakan surirumah sekarang berpendidikan tinggi. Mereka yang berani akan mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan yang dipegang demi untuk menjaga dan mendidik anak-anak dengan tangan sendiri.

- Surirumah zaman sekarang bebas bergerak. Rata-rata mempunyai kenderaan seperti kereta dan juga kenderaan serbaguna (MPV) untuk bergerak. Ada yang menghantar dan mengambil anak-anak. Tak kurang juga ada yang keluar berurusan seperti ke bank, pejabat pos dan membeli keperluan dapur di pasaraya tanpa mengharapkan bantuan suami.

- Ramai yang memilih untuk bekerja dari rumah. Walaupun menjaga anak-anak tetapi masih mampu menjana pendapatan sendiri. Surirumah zaman ini bijak mengatur masa dan boleh melakukan banyak benda dalam satu masa.

- Terima kasih kepada kemajuan teknologi komunikasi, kini walaupun surirumah hanya berada di rumah tetapi mempunyai ramai kenalan di seluruh Malaysia dan seantero dunia. Semuanya berhubung melalui medium yang dipanggil email, facebook dan blog. Tidak perlu bersusah payah untuk keluar dari rumah hanya untuk bersosial.


Alhamdulillah, saya adalah generasi surirumah alaf baru. Walaupun memiliki ijazah tetapi saya korbankan kerjaya dan pengalaman bekerja untuk berada di rumah bersama-sama anak-anak. Namun begitu, minat yang terlalu mendalam kepada perniagaan membuatkan saya terus menjalankan perniagaan online.

Siapa kata jika berstatus surirumah kita tidak boleh melakukan perkara yang kita suka dan menjana pendapatan sendiri? Sebenarnya, antara rajin dan malas berusaha sahaja. Ramai surirumah yang suka berada di dalam zon selesa kerana tidak mahu berpening-pening dengan pelbagai tugasan. Iya benar, jika surirumah bekerja dari rumah maka bermakna satu lagi bidang tugasan baru yang memerlukan komitmen masa terpaksa dikorbankan. Surirumah terpaksa mengorbankan masa tidur dan berjaga menguruskan "kedai" apabila anak-anak kecil sudah tidur. Pendek kata, surirumah harus bijak mengatur dan menguruskan masa.

Di tambah dengan kecanggihan alat telekomunikasi yang membolehkan email boleh diakses melalui telefon, sangat-sangat membantu tugas suri yang bekerja dari rumah. Sambil-smabil memasak pun boleh melayan permintaan pelanggan dan tidak terhad walau di mana kita berada.

Semoga tahun-tahun akan datang lebih ramai suri yang akan bekerja dari rumah. Selain daripada membesarkan sendiri anak sendiri tapi boleh juga menjana pendapatan sendiri bagi membantu kewangan keluarga dan masyarakat juga. Bina persediaan awal dari sekarang iaitu dengan mencari apa yang kita minat. Insya Allah sekiranya bermula dengan minat, ianya dapat mendorong kita supaya berusaha dengan lebih untuk keluar dari zon selesa seorang suri.

Bagi mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan online, boleh hubungi saya untuk pendaftaran kelas asas blog & fanpage. Di dalam kelas ini anda (khususnya kaum suri) akan diajar untuk membina email, blog dan fanpage serta membuat link antara keduanya. Selain itu, anda juga akan berterusan dibimbing oleh saya dalam membina sebuah blog yang berpengaruh dan mampu menjana pendapatan melalui penulisan juga.

Hubungi saya sekarang melalui :

Email : zailamohamad@yahoo.com
Sms/whats app : 012-3228651
Facebook : Zaila Mohamad

1 comment: