Tuesday, October 8, 2013

Tips Khas Buat Suri Bekerja Di Rumah Supaya Fokus Dalam Perniagaan


Teks : Zaila Mohamad
Imej : Google

Assalamualaikum,

Tidak dinafikan sebagai seorang surirumah yang bekerja dari rumah, sangat mudah untuk hilang fokus di dalam berniaga. Ini kerana longgokan kerja rumah yang tidak pernah putus, godaan TV dan drama bersiri dan juga faktor usia yang semakin meningkat banyak membuatkan kaum surirumah yang kecundang dalam menguruskan masa. Di sini saya senaraikan beberapa tips yang boleh dicuba untuk mengekalkan fokus dalam perniagaan tanpa mengganggu tugasan yang lain.

1) Lakukan mengikut rutin

Adalah penting seorang surirumah yang bekerja di rumah mencari rutin harian yang kena dengan kehidupan hariannya. Jangan sesekali meniru orang lain kerana setiap dari kita adalah berbeza kehendak dan keperluan masing-masing. Sebagai contoh, rutin kehidupan saya setiap pagi adalah bermula selepas dua anak ke sekolah dan dua anak lagi tidur. saya gunakan kesempatan untuk menyemak tugasan pelajar kelas asas blog & fanpage, mengemaskini blog dan mempromosikan barangan jualan saya. Selepas anak-anak bangun, barulah saya ke dapur menyediakan makanan tengahari dan melakukan tugasan seperti membasuh pakaian ataupun menyidai pakaian. Waktu petang dan malam juga saya akan menyemak kembali blog dan apa juga kerja yang berkaitan sekiranya ada masa yang terluang.

2) Gunakan sepenuhnya teknologi

Gadget seperti telefon pintar sangat-sangat membantu saya dalam melakukan tugasan. Saya hanya menggunakan Samsung S2 dan setiap bulan saya melanggan data internet secara pra-bayar sahaja. Namun saya cukup berpuas hati kerana masih dapat melayan pertanyaan pelanggan dan pelajar walau di mana saya berada. Contohnya jika berada di dapur, sambil-sambil memasak jika ada sebarang pertanyaan saya akan cepat-cepat membalasnya kerana lambat bertindak juga merupakan salah satu faktor pelanggan lari mencari peniaga yang lain. Jadi seharusnya menggunakan segala peluang yang ada untuk digunakan sepenuhnya.

3) Kurangkan menonton TV

Saya akui saya bukanlah hantu drama bersiri Korea, kantonis atau mana-mana bahasa lain. Bukan kerana sibuk menguruskan kelas tetapi memang perangai saya yang tidak suka menonton drama. Sekiranya kita mengikuti satu-satu drama, kemungkinan masa kita sudah terbuang begitu sahaja selama setengah atau sejam dalam setiap hari. Tapi sekiranya kita menonton sekadar menghilangkan tekanan, mungkin dibolehkan cuma kena ada had masa yang ditentukan. Satu-satunya masa yang saya gunakan menonton TV adalah semasa di hujung minggu bersama suami dan anak-anak.

4) Wujudkan SOHO

Small Office Home Office (SOHO) sangat penting kerana di sinilah kita akan bersendiri melakukan kerja-kerja kita. Sekiranya anak-anak ada, biarkan mereka bermain di bawah pengawasan kita. Alhamdulillah, setakat ini anak-anak sangat selesa bermain di dalam SOHO saya kerana saya mewujudkan ruang SOHO di dalam bilik tidur di mana apabila anak-anak penat bermain, mereka boleh tidur di atas katil.

5) Jangan masukkan perisian mainan (software game)

Satu lagi saya tidak suka bermain game. Baik di komputer peribadi mahupun telefon, saya memang akan membuang segala permainan yang ada di dalam itu. Mungkin kerana saya sendiri tidak suka bermain mainan tersebut tapi satu sebab lagi adalah kerana saya tidak suka anak-anak saya lalai bermain permainan di telefon sepanjang masa. JAdi, kenalah berdisiplin sedikit supaya kita tidak memulakannya dari awal. Ramai ibu muda yang tewas dengan anak-anak kerana awal-awal lagi telah memberikan telefon mereka sebagai upah kepada anak sekiranya mahu mereka diam. Mungkin boleh tukar kepada dengan memberikan mereka ganjaran seperti memasak makanan kesukaan atau bermain bersama-sama mereka.

Diharap perkongsian ini dapat membantu para surirumah yang bekerja di rumah supaya lebih fokus dalam melakukan tugasan harian mereka. Ingat, kita sememangnya suri super kerana berjaya melakukan banyak perkara di dalam satu masa. Tahniah untuk anda semua!

Bagi mereka yang ingin menyertai kelas asas blog & fanpage yang dikendalikan sepenuhnya oleh saya. Bolehlah mnghubungi melalui :

Email : zailamohamad@yahoo.com
sms / whats app : 012-322 8651
Facebook : Zaila Mohamad

Mulakan dengan membina tapak asas di dalam perniagaan online dengan menyertai kelas ini. Kelas dijalankan 100% di dalam talian dan tawaran menjadi ahli dropship ditawarkan sekiranya tiada produk untuk dijual.

Sehingga bertemu lagi di artikel yang lain.

Assalamualaikum dan salam suri hebat untuk semua.

Sunday, October 6, 2013

3 Cara Mudah Untuk Menjual Produk Terpakai

Teks : Zaila Mohamad

Imej : Sumber dari google

Assalamualaikum,

Pasti ada ramai di kalangan kita yang bingung dengan barangan terpakai yang ada di dalam rumah kan? Apatah lagi jikalau sudah mendiami kediaman selama bertahun-tahun. Pasti ada sahaja barangan yang sudah tidak digunakan tetapi masih elok tersadai di ceruk rumah kan? Atau pun anda seorang kaki pembeli-belah. Setiap bulan ada sahaja acara membeli-belah pakaian mahupun perhiasan diri tetapi lama kelamaan sudah tiada almari untuk disumbat segala barangan tersebut.

Tahukah anda dengan menjual barangan terpakai (yang masih elok) juga boleh memberikan pendapatan kepada anda. Ada 3 cara mudah yang boleh dibuat seperti :


1) Menggunakan platform Mudah.My sebagai tempat untuk pemasaran produk

Tahukah anda yang salah satu laman sesawang yang paling berpengaruh di Malaysia adalah Mudah.my. Di dalam ini ada bermacam-macam produk yang telah dikategorikan mengikut negeri. Kemudian dipecahkan pula mengikut kategori masing-masing iaitu makanan, pakaian, servis dan bermacam-macam lagi. Di sini anda boleh mengiklankan produk secara percuma tetapi haruslah bersetuju dengan segala terma & syarat yang telah ditetapkan oleh Mudah.my. Sekiranya kita menjual barangan terpakai, seharusnya memilih kategori produk untuk dijual sebagai barangan terpakai. Di sini kena jujur dan telus dalam memberikan keterangan supaya pelanggan yang berminat tidak rasa tertipu dan ditipu.

2) Membuat Jualan Garaj Di Hadapan Rumah


Pernah dengar tak perkataan "Garage Sale" atau jualan garaj? Biasanya di negara barat sudah lama dilakukan oleh mereka yang ingin berpindah atau menjual barangan rumah yang mereka sudah tidak memerlukannya. Selalunya fliers akan diedarkan ke kawasan kejiranan dan dihebahkan kepada kawan-kawan yang terdekat supaya mereka datang mengunjungi kediaman kita pada hari jualan tersebut. Dengan ini jiran tetangga ataupun mereka yang berminat boleh datang dan melihat sendiri keadaan barangan mahupun produk yang ingin kita jual. Tawar menawar juga akan berlaku dan jangan takut untuk memberikan harga yang rendah kerana matlamat kita adalah untuk menjual semua barangan terpakai bagi memberikan ruang di dalam kediaman nanti. Ada juga pasaraya yang menyewakan ruangan untuk peniaga menjual barangan terpakai mereka. Walau di mana pun anda berada, pastikan barangan terpakai itu dapat dijual:)

3) Menggunakan Facebook dan Blog

Facebook dan blog merupakan medium sosial yang paling berpengaruh di zaman ini. Sekiranya kita mempunyai ramai kenalan yang mengikuti blog dan akaun facebook kita. Kongsikan sahaja iklan barangan di situ dan serta merta dapat berhubung dengan mereka yang berminat. Mudah bukan? tidak perlu membayar mahal-mahal untuk menyewa ruangan iklan di suratkhabar mahupun media massa yang lain. Hanya perlu aktif mengemaskini gambar sahaja.

Sehingga bertemu lagi di dalam tips perniagaan yang berikutnya. Bagi mereka yang mahu memulakan langkah pertama dalam urusniaga perniagaan online boleh mendaftarkan diri ke dalam kelas asas blog & fanpage yang dikendalikan oleh saya sendiri. Boleh emailkan pertanyaan ke zailamohamad@yahoo.com atau sms/whats app ke 012-322 8651 untuk dianalisa. Di dalam kelas ini anda akan diajar perkara-perkara asas sebelum memulakan sebuah perniagaan internet. Kelas adalah 100% secara online dan tidak memerlukan komitmen masa (masa sangat fleksibel bergantung kepada pelajar sendiri)

Boleh layari blog Akademi Bekerja Di Rumah untuk pemahaman yang lebih lanjut. Sila klik sini

http://akademibekerjadirumah.blogspot.com/

Bagi mereka yang ingin mengiklankan produk/servis/kedai boleh juga menyewa tapak iklan di blog ini

http://sohodirectory.blogspot.com/

Jangan lupa daftar sekarang. Semoga bertemu lagi dan jom jana pendapatan hanya dari rumah sahaja :)

Friday, October 4, 2013

Tips Mencari Bisnes Yang Menguntungkan


Teks : Zaila Mohamad
Imej : Google

Assalamualaikum,

Selalunya apabila ingin memulakan perniagaan, rata-rata daripada kita ingin mencari bisnes yang menguntungkan, tidak memerlukan modal yang banyak dan mudah untuk dijual. Masih adakah produk yang seperti digambarkan itu? Iya, ada dan ianya bukanlah menjual skim cepat kaya juga. Jom ketahui beberapa contoh bisnes yang sangat menguntungkan pada zaman ini.

1) Menjual Produk MLM :

Iya, bukan semua produk MLM menipu cuma ramai yang menyalahtafsirkannya dan menjadikan produk keluaran syarikat MLM ditolak oleh masyarakat. Ramai di kalangan kita yang tertipu dengan simbol palsu kejayaan yang sering diguna pakai oleh mereka yang membuat MLM. Kata kunci paling penting adalah jangan memilih bisnes MLM yang tidak menjual produk iaitu dengan menjual sistem; "jika aku daftar kamu harus cari empat orang bawah kamu" Inilah yang banyak terjadi dan ramai yang tertipu, setelah mengeluarkan sejumlah modal dan menerima barangan, ramai yang tidak dapat menjual produk mereka kerana tiada pengalaman berniaga. Jadi, untuk menjual produk MLM seharusnya kenalpasti dahulu produk apakah yang sedang terlaris di psaran dan memang menjual produknya sahaja. Keuntungan yang diberikan memang tinggi dan bonus juga diberikan kepada mereka yang telah mendapat sasaran jualan bagi setiap bulan.

2) Menjual Produk Secara Borong

Seperti yang diketahui, jualan secara borong memang akan memberikan keuntungan yang lebih besar berbanding menjualnya secara satu-satu. Mengapa? Kerana harga yang ditawarkan apabila membeli sesuatu barangan dalam bentuk borong adalah jauh lebih murah dan sesetengah produk menawarkan keuntungan antara RM15-RM35 bagi setiap produk yang terjual. Namun begitu masalah yang sering berlaku adalah sekiranya barangan yang dibeli tidak dapat terjual, kita pula yang harus menanggung kerugian dengan menjual produk tersebut secara jualan murah (iaitu tiada keuntungan dalam setiap urusan jual beli)

3) Menjual Produk Digital

Dewasa kini, ebook sangat mendapat sambutan di kalangan pencinta ilmu. Ramai orang yang sudah tidak kisah untuk membelanjakan duit untuk membeli ebook kerana mereka ini golongan yang dahagakan ilmu. Perniagaan e-book tidak memerlukan modal yang banyak dan paling penting ianya tidak memerlukan ruangan storan yang besar seperti produk fizikal yang lain. Cara untuk menyimpannya juga mudah iaitu di dalam PC mahupun email sahaja. Tidak perlu menanggung kos seperti sewa kedai, kos pengangkutan mahupun kos penghantaran.

4) Memberikan latihan berdasarkan kemahiran

Setiap orang mempunyai kemahiran dan kelebihan masing-masing. Ada yang pandai memasak, menulis, menjahit mahupun menggubah bunga. Berteraskan minat dan pengalaman yang ada selama bertahun-tahun di dalam bidang tersebut, bolehlah diteruskan dengan memberikan latihan kepada mereka yang baru mahu bermula. Sedikit bayaran harus dikenakan dan kelas boleh dilakukan di mana-mana lokasi yang terpilih mahupun secara online sahaja.

5) Menjual khidmat / servis

Ini juga dikatakan memberikan pulangan yang lumayan juga. Apa yang diperlukan adalah satu produk dan disewakan kepada pengguna yang memerlukannya. Paling senang khidmat sewa kanopi yang sentiasa mendapat sambutan tidak kira waktu. Berbekalkan dua mahupun tiga biji kanopi, penjual hanya perlu pergi ke rumah pelanggan memasang kanopi dan membukanya setelah tamat majlis. Dalam masa beberapa jam sahaja boleh mendapatkan pulangan yang lumayan.

Sehingga bertemu lagi di dalam tips perniagaan yang berikutnya. Bagi mereka yang mahu memulakan langkah pertama dalam urusniaga perniagaan online boleh mendaftarkan diri ke dalam kelas asas blog & fanpage yang dikendalikan oleh saya sendiri. Boleh emailkan pertanyaan ke zailamohamad@yahoo.com atau sms/whats app ke 012-322 8651 untuk dianalisa. Di dalam kelas ini anda akan diajar perkara-perkara asas sebelum memulakan sebuah perniagaan internet. Kelas adalah 100% secara online dan tidak memerlukan komitmen masa (masa sangat fleksibel bergantung kepada pelajar sendiri)

Boleh layari blog Akademi Bekerja Di Rumah untuk pemahaman yang lebih lanjut. Sila klik sini

http://akademibekerjadirumah.blogspot.com/

Bagi mereka yang ingin mengiklankan produk/servis/kedai boleh juga menyewa tapak iklan di blog ini

http://sohodirectory.blogspot.com/

Jangan lupa daftar sekarang. Semoga bertemu lagi dan jom jana pendapatan hanya dari rumah sahaja :)