Tuesday, October 8, 2013

Tips Khas Buat Suri Bekerja Di Rumah Supaya Fokus Dalam Perniagaan


Teks : Zaila Mohamad
Imej : Google

Assalamualaikum,

Tidak dinafikan sebagai seorang surirumah yang bekerja dari rumah, sangat mudah untuk hilang fokus di dalam berniaga. Ini kerana longgokan kerja rumah yang tidak pernah putus, godaan TV dan drama bersiri dan juga faktor usia yang semakin meningkat banyak membuatkan kaum surirumah yang kecundang dalam menguruskan masa. Di sini saya senaraikan beberapa tips yang boleh dicuba untuk mengekalkan fokus dalam perniagaan tanpa mengganggu tugasan yang lain.

1) Lakukan mengikut rutin

Adalah penting seorang surirumah yang bekerja di rumah mencari rutin harian yang kena dengan kehidupan hariannya. Jangan sesekali meniru orang lain kerana setiap dari kita adalah berbeza kehendak dan keperluan masing-masing. Sebagai contoh, rutin kehidupan saya setiap pagi adalah bermula selepas dua anak ke sekolah dan dua anak lagi tidur. saya gunakan kesempatan untuk menyemak tugasan pelajar kelas asas blog & fanpage, mengemaskini blog dan mempromosikan barangan jualan saya. Selepas anak-anak bangun, barulah saya ke dapur menyediakan makanan tengahari dan melakukan tugasan seperti membasuh pakaian ataupun menyidai pakaian. Waktu petang dan malam juga saya akan menyemak kembali blog dan apa juga kerja yang berkaitan sekiranya ada masa yang terluang.

2) Gunakan sepenuhnya teknologi

Gadget seperti telefon pintar sangat-sangat membantu saya dalam melakukan tugasan. Saya hanya menggunakan Samsung S2 dan setiap bulan saya melanggan data internet secara pra-bayar sahaja. Namun saya cukup berpuas hati kerana masih dapat melayan pertanyaan pelanggan dan pelajar walau di mana saya berada. Contohnya jika berada di dapur, sambil-sambil memasak jika ada sebarang pertanyaan saya akan cepat-cepat membalasnya kerana lambat bertindak juga merupakan salah satu faktor pelanggan lari mencari peniaga yang lain. Jadi seharusnya menggunakan segala peluang yang ada untuk digunakan sepenuhnya.

3) Kurangkan menonton TV

Saya akui saya bukanlah hantu drama bersiri Korea, kantonis atau mana-mana bahasa lain. Bukan kerana sibuk menguruskan kelas tetapi memang perangai saya yang tidak suka menonton drama. Sekiranya kita mengikuti satu-satu drama, kemungkinan masa kita sudah terbuang begitu sahaja selama setengah atau sejam dalam setiap hari. Tapi sekiranya kita menonton sekadar menghilangkan tekanan, mungkin dibolehkan cuma kena ada had masa yang ditentukan. Satu-satunya masa yang saya gunakan menonton TV adalah semasa di hujung minggu bersama suami dan anak-anak.

4) Wujudkan SOHO

Small Office Home Office (SOHO) sangat penting kerana di sinilah kita akan bersendiri melakukan kerja-kerja kita. Sekiranya anak-anak ada, biarkan mereka bermain di bawah pengawasan kita. Alhamdulillah, setakat ini anak-anak sangat selesa bermain di dalam SOHO saya kerana saya mewujudkan ruang SOHO di dalam bilik tidur di mana apabila anak-anak penat bermain, mereka boleh tidur di atas katil.

5) Jangan masukkan perisian mainan (software game)

Satu lagi saya tidak suka bermain game. Baik di komputer peribadi mahupun telefon, saya memang akan membuang segala permainan yang ada di dalam itu. Mungkin kerana saya sendiri tidak suka bermain mainan tersebut tapi satu sebab lagi adalah kerana saya tidak suka anak-anak saya lalai bermain permainan di telefon sepanjang masa. JAdi, kenalah berdisiplin sedikit supaya kita tidak memulakannya dari awal. Ramai ibu muda yang tewas dengan anak-anak kerana awal-awal lagi telah memberikan telefon mereka sebagai upah kepada anak sekiranya mahu mereka diam. Mungkin boleh tukar kepada dengan memberikan mereka ganjaran seperti memasak makanan kesukaan atau bermain bersama-sama mereka.

Diharap perkongsian ini dapat membantu para surirumah yang bekerja di rumah supaya lebih fokus dalam melakukan tugasan harian mereka. Ingat, kita sememangnya suri super kerana berjaya melakukan banyak perkara di dalam satu masa. Tahniah untuk anda semua!

Bagi mereka yang ingin menyertai kelas asas blog & fanpage yang dikendalikan sepenuhnya oleh saya. Bolehlah mnghubungi melalui :

Email : zailamohamad@yahoo.com
sms / whats app : 012-322 8651
Facebook : Zaila Mohamad

Mulakan dengan membina tapak asas di dalam perniagaan online dengan menyertai kelas ini. Kelas dijalankan 100% di dalam talian dan tawaran menjadi ahli dropship ditawarkan sekiranya tiada produk untuk dijual.

Sehingga bertemu lagi di artikel yang lain.

Assalamualaikum dan salam suri hebat untuk semua.

No comments:

Post a Comment